Kesudahan Akibat Berpasangan

Segelintir manusia ketika berdua-duaan dengan bukan muhrim sama ada sedang berjalan, makan bersama walaupun di tempat terbuka, apabila ditegur akan kesalahannya pasti merasa kurang senang bahkan ada juga yang menentang orang yang menegur tersebut. Lebih menjelikkan lagi apabila keadaan berdua-duaan tersebut dengan sentuhan haram bersama bukan muhrim pastinya meningkatkan syahwat terhadap pasangan tersebut. Setidak-tidaknya enak memerhatikan susuk fizikal pasangan apabila sering bersama ke hulu ke hilir.


Ketahuilah, perbuatan-perbuatan tersebut mendorong ke arah perbuatan zina tanpa disedari. Sebahagiannya berniat berpasangan dengan menjaga batas pergaulan namun ketahuilah asalkan berdua-duaan sahaja sama ada di tempat terbuka atau tertutup, pihak ketiga iaitu syaitan akan membisik di telinga dan menyucuk jarum kemaksiatan di hati agar melakukan larangan Allah yang lebih dahsyat lagi. Maka, perbuatan jijik itu bisa terjadi kapan-kapan masa sahaja apabila iman kita dalam keadaan lemah.

Justeru, sebab itulah mereka yang mempunyai kesedaran beragama menegur mahupun mencegah perbuatan yang menyalahi syariat dan adat ini kerana memikirkan akibat daripada perbuatan berpasangan tersebut iaitu zina.

Zina membawa kepada akibat yang buruk dan keji baik di dunia lebih-lebih lagi di akhirat seandainya kita tidak bertaubat.

Antara kesannya adalah:

1. Dalam zina terkumpul bermacam-macam dosa dan keburukan iaitu berkurangnya agama si penzina, hilangnya sikap warak (menjaga diri dari dosa), buruk keperibadian dan hilangnya rasa cemburu.

2. Zina membunuh rasa malu, padahal dalam Islam malu adalah suatu yang amat diambil berat dan perhiasan yang sangat indah khasnya bagi wanita.

3. Menjadikan wajah pelakunya muram dan gelap.

4. Membuatkan hati menjadi gelap dan mematikan sinarnya.

5. Menjadikan pelakunya selalu dalam kemiskinan sehingga tidak pernah berasa cukup dengan apa yang diterimanya.

6. Akan menghilangkan kehormatan pelakunya dan jatuh martabatnya, baik di hadapan Allah mahupun sesama manusia.

7. Allah akan mencampakkan sifat liar di hati penzina, sehingga pandangan matanya liar dan tidak terkawal.

8. Penzina akan dipandang manusia dengan pandangan mual dan tidak percaya.

9. Zina mengeluarkan bau busuk yang mampu dihidu oleh orang-orang yang memiliki qalbun salim (hati yang bersih) melalui mulut atau badannya.

10. Kesempitan hati dan dada selalu meliputi penzina. Apa yang ia dapati dalam kehidupan ini adalah sebalik dari apa yang diingininya.

Ini kerana orang yang mencari kenikmatan hidup dengan cara bermaksiat kepada Allah maka Allah akan memberikan sebaliknya dari apa yang dia inginkan dan Allah tidak menjadikan maksiat sebagai jalan untuk mendapatkan kebaikan serta kebahagiaan.

11. Penzina mengharamkan dirinya untuk mendapat bidadari jelita di syurga kelak.

12. Perzinaan menyeret kepada terputusnya hubungan silaturrahim, derhaka kepada orang tua, pekerjaan haram, berbuat zalim serta menyia-nyiakan keluarga dan keturunan.

Bahkan, ia boleh membawa kepada pertumpahan darah dan sihir serta dosa-dosa besar yang lain. Zina biasanya berkait dengan dosa dan maksiat yang lain sebelum atau bila berlakunya dan selepas itu biasanya akan melahirkan kemaksiatan yang lain pula.

13. Zina menghilangkan harga diri pelakunya dan merosakkan masa depannya di samping meninggalkan aib yang berpanjangan bukan sahaja kepada pelakunya malah kepada seluruh keluarganya.

14. Aib yang dicontengkan kepada pelaku zina lebih meninggalkan kesan dan mendalam daripada asakan akidah kafir, misalnya kerana orang kafir yang memeluk Islam selesailah persoalannya.

Tetapi dosa zina akan benar-benar meninggalkan kesan di dalam jiwa kerana walaupun akhirnya pelaku itu bertaubat dan membersihkan diri, dia masih berasa berbeza dengan orang yang tidak pernah melakukannya?

Jika wanita yang berzina hamil dan untuk menutupi aibnya ia mengugurkannya. Dia berzina dan membunuh jiwa yang tidak berdosa.

Sekiranya dia ialah seorang wanita yang bersuami dan melakukan kecurangan sehingga hamil dan membiarkan anak itu lahir, dia memasukkan orang asing dalam keluarganya dan keluarga suaminya sehingga anak itu mendapat hak warisan mereka tanpa disedari siapa dia sebenarnya. Na'udzubillahi min dzaalik.

15. Perzinaan menyebabkan menularnya penyakit seperti Aids, siphilis dan gonorhea atau kencing bernanah.

16. Di antara azab di akhirat nanti penzina akan dibesarkan kemaluan, baik lelaki atau perempuan sebesar Bukit Uhud. Anda tahu besar mana Bukit Uhud? Semoga kita dan anak keturunan kita terselamat dari bencana durjana ini.

Oleh itu, itulah sebabnya umat Islam dilarang bercouple sebelum berkahwin demi mengelakkan gejala keji ini bahkan semua agama pada asalnya mengharamkan zina namun nafsu sering menguasai manusia. Segala perbuatan yang menghampiri kepada zina adalah haram termasuklah berdating berdua dengan bukan muhrim dalam apa jua suasana sekeliling sebagaimana perintah Allah S.W.T. dalam surah Al-Isra', ayat 32 yang bermaksud:

" Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)."

bpimtmksr

0 comments:

Post a Comment