Sudut Pidato Diwujudkan Semula



Pemenang pidato kategori bahasa Melayu, Amirrudin Abdul Rahman dari Universiti Putra Malaysia dan pemenang kategori bahasa Inggeris, Ain Anissa Mohamed dari Universiti Teknologi Mara bersama piala kemenangan Pertandingan Akhir Pidato Kemerdekaan Antara IPT 2009, Piala Menteri Pengajian Tinggi Malaysia di Hotel Flamingo, Kuala Lumpur, semalam. – Utusan/Zulkarnain Mohd. Saidin


KUALA LUMPUR 30 Dis. – Institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) dibenarkan mewujudkan semula sudut pidato khas bagi meningkatkan kemahiran pengucapan awam di kalangan mahasiswa.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, langkah itu bagi melahirkan lebih ramai mahasiswa yang berkebolehan berhujah serta meningkatkan bakat pengucapan awam.

Katanya, kemahiran berucap perlu dikuasai oleh mahasiswa dan tidak terhad kepada kumpulan pelajar tertentu sahaja seperti pemidato universiti.

“Kebenaran itu akan menghidupkan budaya keilmuan dan intelektual di universiti selain melahirkan mahasiswa cemerlang bukan sahaja dari segi akademik semata-mata.

“Bagaimanapun, sudut pidato berkenaan perlu dilakukan secara beretika, berhemah dengan persetujuan daripada Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) universiti masing-masing, kita yakin ia tidak akan menimbulkan implikasi negatif,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Pertandingan Pidato Kemerdekaan antara IPT 2009 di sini hari ini.

Turut hadir, Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Datuk Seri Dr. Syed Arabi Idid dan Pengerusi Yayasan Tunku Abdul Rahman, Dr. Tengku Abdul Aziz Tengku Zainal.

Program yang dianjurkan oleh Yayasan Tuanku Abdul Rahman, Majlis Debat Universiti-Universiti Malaysia (MADUM) dan UIAM turut menyediakan wang tunai bernilai RM5,000, piala pusingan, piala iringan dan sijil penyertaan.

Pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM), Amirrudin Abdul Rahman dinobatkan pemenang kategori pidato bahasa Melayu dan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Ain Anissa Mohamed bagi kategori bahasa Inggeris.

Sudut pidato yang diharamkan berikutan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1975 sejak 34 tahun lalu dibenarkan semula di semua IPT dan IPTS selepas pindaan mengenainya diwartakan pada Februari tahun lalu.

Menurut Saifuddin, pindaan AUKU 1975 itu memberi lebih kebebasan bersuara kepada mahasiswa.

Jelasnya, mahasiswa dapat menggunakan platform tersebut untuk berhujah dan berbincang mengenai isu semasa secara lebih meluas termasuk melibatkan isu-isu politik tanah air.

“Kita berharap ia dapat meningkatkan kualiti lapan teras kokurikulum di universiti.

“Teras kokurikulum di universiti ada lapan, satu daripadanya adalah pengucapan awam. Malangnya status pengucapan awam pada hari ini berada di tangga paling bawah dari segi jumlah program yang dianjurkan oleh universiti dan penyertaan penuntut,” katanya.

Sumber: Utusan Online

Mahasiswa Mahu Perkataan 'Pelajar' Ditukar Kepada 'Mahasiswa'

12 Muharram 1431H

SKUDAI, 29 Dis: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) semalam dicadangkan untuk menggunakan perkataan 'mahasiswa' menggantikan 'pelajar' pada nama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di Universiti tersebut.

Cadangan tersebut dibuat Pengerusi Pro Mahasiswa UTM, Nur Azim Fahada Ahmad dalam suatu memorandum kepada Naib Canselor Datuk Prof. Ir. Dr. Zaini Ujang semalam.

Beliau berkata, cadangan tersebut sejajar dengan kenyataan Timbalan Naib Canselor Prof. Dr. Tajuddin Ninggal dalam suatu upacara rasmi Universiti sebelum ini.

Beliau juga berpendapat, penggunaan perkataan 'mahasiswa' pada pertubuhan-pertubuhan siswa Universiti sekali gus mengiktiraf kedudukan mahasiswa sebagai kelompok intelektual terpilih di peringkat Universiti.

Beliau turut memaklum inti perbincangan ProM UTM dengan pentadbiran Universiti, sebelum upacara penyerahan memorandum dilakukan.

"Dalam pertemuan tadi (Isnin), perbincangan kami lebih menumpu pada bagaimana semua pihak dapat bekerjasama dalam menjayakan Pelan Pembangunan Mahasiswa dan melestarikan ilmu di semua peringkat," dipetik dari laman rasmi ProM UTM, promahasiswautm.blogspot.com

Dalam perkembangan yang sama, lebih 50 orang mahasiswa berhimpun di lobi pejabat pentadbiran Universiti menuntut diadakan Majlis Pengenalan Calon dan kebebasan berkempen dalam Pilihan Raya Kampus (PRK) yang dijangka umum diadakan pada awal Januari depan.

Sumber: Berita

Selamat Kembali dan "Berkuliah"


Assalamu'alaikum Wrhmt Wbrth..




Kepada: Seluruh Mahasiswa Kolej Sri Rajang

Pihak Biro Pembangunan Insan Majlis Tertinggi Mahasiswa 09/10 mengucapkan selamat kembali ke 'kampus hijau Bintulu'@ Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak dan Kolej Sri Rajang untuk meneruskan pengajian bagi semester kedua 09/10

Semoga semester ini peluang terbaik untuk kita menjadi mahasiswa terbaik!!

“Barang siapa yang amal perbuatannya (hari ini) lebih baik dari semalam atau kelmarin, maka ia tergolong orang yang beruntung. Dan barang siapa yang hari ini amalnya sama dengan semalam, maka ia termasuk orang yang rugi. Dan barang siapa yang amalnya hari ini lebih buruk dari semalam, maka dia tergolong orang yang mendapat laknat dari Allah.” - Kata-kata hikmah

Sekitar Awal Tahun 2009: Runtuhan Tanah

Awal tahun 2009 menyaksikan sebahagian kawasan tebing sungai berhampiran Jalan Mulu dan sebahagian kecil jalan ke pusat pelajar mengalami runtuhan. Tanah runtuh tersebut berpunca daripada hujan berterusan di Utara Sarawak sepanjang Januari khususnya mengakibatkan struktur tanah kawasan itu mengalami perubahan. Sehingga akhir tahun (kini), jalan yang merupakan laluan utama siswa dan siswi Kolej Sri Rajang ke fakulti itu masih belum dibuka sepenuhnya terutama untuk kereta dan kenderaan berat. Namun, laluan itu dibuka untuk pejalan kaki dan motorsikal.


Jalan tersebut masih dalam pemerhatian dan kajian. Laluan yang terhad juga bertujuan keselamatan. Akibat runtuhan tanah itu, mencacatkan sedikit pemandangan hijau di kawasan tersebut. Namun, tindakan telah diambil serta pembersihan kawasan dan penanaman semula rumput telah dijalankan beberapa bulan yang lepas. Kini, kawasan tanah runtuh itu kian menghijau semula.

Semoga tahun akan datang kita terus dikurniakan kesihatan dan keselamatan yang baik serta dijauhkan dari musibah bencana yang tidak diduga. Ambillah ibroh (pengajaran) daripada peristiwa itu sebagai muhasabah buat kita yang sering melupakan tuhan serta perintah dan larangannya. Adakalanya komunikasi dari tuhan kepada manusia berlaku dengan cara didatangkan amaran dariNya melalui bencana supaya hambaNya sentiasa insaf dengan setiap bencana yang diturunkan.






























Gambar: Akibat hujan yang berterusan, kawasan ini mengalami runtuhan tanah. Namun, kita harus mengambil ibroh (pengajaran) dan muhasabah daripada peristiwa ini dengan keinsafan. Adakalanya komunikasi dari tuhan kepada manusia berlaku dengan cara didatangkan amaran dariNya melalui bencana supaya hambaNya sentiasa insaf dengan setiap bencana yang diturunkan.

Garis Panduan Hiburan Yang Dibenarkan Islam















Sekadar gambar hiasan


MUQADDIMAH


Antara matlamat utama manusia ini dicipta oleh Allah SWT adalah untuk mengabdikan diri kepada Nya seperti yang firmankan oleh Allah dalam surah Az Zariyyat ayat 56 yang bermaksud:

“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.”

Maka menjadi tanggungjawab kita untuk menjadikan setiap aktiviti kita termasuk berhibur sentiasa berada di dalam ruang lingkup beribadah kepada Allah SWT.

TUJUAN

Tujuan garis panduan ini disediakan adalah untuk memberi panduan kepada para penganjur hiburan agar program hiburan yang dijalankan tidak menyalahi syara’ dan tersasar dari tujuan beribadah kepada Allah SWT.

ISLAM DAN HIBURAN

Islam adalah satu cara hidup yang sangat meraikan dan tidak pernah sekali-kali menyekat naluri fitrah manusia termasuklah berhibur seperti mendengar muzik, bunyi-bunyian dan nyanyian asalkan sahaja hiburan itu tidak menyalahi hukum-hukum syara’.

GARIS PANDUAN MENGADAKAN ACARA KONSERT / PERSEMBAHAN DAN HIBURAN DALAM ISLAM

1- Hendaklah dipastikan muzik / lagu / skrip yang mempunyai perkataan yang boleh membawa ke arah bertentangan dengan aqidah seperti menyalahi syariat Allah SWT, memburuk-burukkan Rasulullah SAW, melekehkan para sahabat, meragui hari kiamat dan pembalasan dosa pahala juga tiada unsur memuja atau taksub kepada wanita.

Allah SWT memberi peringatan kepada sesiapa yang meragui kebenaran hari kiamat dengan firmannya :

"Sesungguhnya hari kiamat itu tetap akan datang - yang Aku sengaja sembunyikan masa datangnya - supaya tiap-tiap diri dibalas akan apa yang ia usahakan (15) Maka janganlah engkau dihalangi daripada mempercayainya oleh orang yang tidak beriman kepadanya serta ia menurut hawa nafsunya; kerana dengan itu engkau akan binasa (16).

( Taaha : 15-16)

2- Suatu persembahan / konsert yang dijalankan hendaklah tidak berlebih-lebihan sehingga hak-hak Allah dan kewajipan yang lain terabai seperti menunaikan ibadah, hak mencari dan memberi nafkah, menuntut ilmu dan sebagainya.

ما من إمرىء مسلم تحضره صلاة مكتوبة فيحسن وضوءها, وخشوعها وركوعها، إلا كانت كفارة لما قبلها من الذنوب، مالم تؤت كبيرة، وذلك الدهر كله.
Tidaklah ada diantara orang Muslim jika tiba waktu solat wajib, lalu dia membaguskan wudhuknya, kekhusyukannya, dan ruku'nya melainkan solat itu menjadi penebus dosa-dosa sebelumnya, selagi dia tidak mengerjakan dosa besar, dan itu berlaku selamanya.

( HR Muslim)

3- Tidak ada muzik / nyanyian yang disampaikan tidak mempunyai senikata lagu berunsur maksiat dan lagho seperti membawa kepada rangsangan ghairah nafsu melalui tema-tema cinta yang melampau, luahan perasaan dan kerinduan yang berlebihan kepada manusia sehingga mendorong pendengar dan remaja kepada melakukan maksiat dan dosa.

Oleh itu nyanyian sebegini hendaklah dijauhi berdasarkan firman Allah seperti berikut :

Dan apabila mereka mendengar perkataan yang sia-sia (lagha), mereka berpaling daripadanya,
( Al Qasas : 55)

إن الله كتب على ابن آدم حظّه من الزنا أدرك ذلك لا محالة. فزنا العين النظر وزنا اللسان النطق والنفس تتمنى وتشتهى والفرج يصدق ذلك أو يكذبه.

Sesungguhnya Allah telah menentukan bahagian seseorang tentang zina yang tidak mustahil didapatinya. Maka zina mata adalah memandang, zina lidah adalah mengucapkan, zina hati adalah mengingini dan faraj (kemaluan) membenarkan atau mendustakannya.

(HR Bukhari dan Muslim)

4- Hendaklah hiburan tidak diiringi atau dialunkan dengan instrument bunyian terlampau seperti budaya rock sehingga penonton / pendengar mengikut rentak (melompat-lompat, menjerit dan bersorak) menjatuhkan akhlak mereka dan mendatangkan fitnah kepada diri mereka.

5- Penyanyi, pembuat persembahan dan penonton yang hadir hendaklah menjaga auratnya, tidak melakukan gerak badan yang memberahikan ataupun mempersembahkan nyanyian dengan suara lucah yang menyebabkan fitnah dan rangsangan nafsu kotor dikalangan pendengar / penonton. Sekalipun lagu dan senikata yang disampaikan adalah baik, dalam keadaan ini ianya tetap menjadi haram.

Allah swt berfirman berkenaan tuntutan menutup aurat :

Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi `auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan.

( Al A'raf : 26)

Rasulullah saw juga memberi amaran kepada wanita yang tidak menutup aurat mereka :

إن مِن أهل النارِ نساءً كاسِياتٍ عارياتٍ مائلاتٍ مُميلاتٍ لا يدخُلْنَ الجنةَ ولا يَجِدنَ ريْحَهَا

Sebahgian dari penghuni neraka ialah perempuan yang memakai pakaian yang menyerupai telanjang, pakaian yang sesat dan menyesatkan. Mereka tidak masuk ke syurga dan tidak mencium baunya.

(HR Muslim)

إذا فعلت أمتي خمس عشرة خصلة فقد حل بها البلاء ... منهن.... واتخذت القينات والمعازف
الراوي: علي بن أبي طالب - خلاصة الدرجة: [إسناده صحيح أو حسن أو ما قاربهما] - المحدث: المنذري - المصدر: الترغيب والترهيب - الصفحة أو الرقم: 4/75


Apabila umatku melakukan 15 perkara maka mereka layak untuk menerima bala Allah. Antara 15 perkara itu ialah…. orang ramai menjadikan wanita sebagai penyanyi (penari-penari), alat-alat yang melalaikan (muzik). …
(HR Tarmidzi)

6- Hendaklah dipastikan tiada percampuran di antara lelaki dan wanita yang bukan mahram tanpa sekatan dan had hingga membawa kepada bersentuhan antara lelaki wanita ajnabi, tiada majlis tari-menari, tidak berlakunya acara minum arak, pertaruhan judi, tiada drama / lakonan-lakonan liar dan seumpamanya.

Rasulullah saw bersabda dalam hal pergaulan lelaki wanita ajnabi ini:

لأن يطعن فى رأس أحدكم بمحيط من حديد خير له من أن يمس امرأة لا تحل له


Sekiranya ditikam di kepala seseorang kamu dengan sebatang besi adalah lebih baik baginya dari menyentuh kulit wanita yang tidak halal untuk disentuh. (adab pergaulan dalam islam, dr rokiah)
(HR Baihaqi)

7- Penyanyi tersebut hendaklah dari kalangan lelaki jika penontonya adalah lelaki dan wanita manakala jika persembahan itu tertutup dan semua yang berkait dengannya adalah wanita maka dibolehkan penyanyi itu dari kalangan wanita. Ini adalah bagi mengelak segala fitnah dan punca kerosakan dari suara wanita dan pergerakan manja wanita yang menggoda. Firman Allah SWT :

Maka janganlah kamu wahai wanita berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).
(Al Ahzab : 32)

Dan Rasulullah SAW juga bersabda :

عن أبي مالك الأشعري قال، قال رسول الله صلى الله عليه وسلم ليشربن الناس من امتي الخمر يسمونها بغير اسمها يعزف على رؤوسهم بالمعازف والمغنيات يخسف الله بعم الارض ويجعل منهم القردة والخنازير
.
Daripada Abu Malik al-Asy’ari daripada Nabi saw bersabda; Beberapa orang daripada umatku akan meminum arak dan menamakannya dengan bukan nama asalnya dan dialunkan muzik kepada mereka dan dihiburkan oleh penyanyi-penyanyi perempuan. Allah akan membenamkan mereka ke dalam perut bumi dan Allah akan menjadikan mereka kera dan babi.

(HR Ibnu Majah)

PERINGATAN

Syaitan selalunya mengambil peluang dari hiburan yang melalaikan untuk menyesatkan dan melaghakan manusia. Allah SWT berfirman dalam surah Al Lukman ayat 6 yang bermaksud :

“Dan ada di antara manusia: orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan; yang berakibat menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari agama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan; dan ada pula orang yang menjadikan agama Allah itu sebagai ejek-ejekan; merekalah orang-orang yang akan beroleh azab yang menghinakan”.

Bertitik-tolak dari itulah, satu garis panduan berkenaan hiburan disusun supaya kehalusan seni hiburan yang digariskan Islam itu dapat direalitikan.

KESIMPULAN

Industri hiburan dan nyanyian yang harus dalam Islam adalah sesuatu yang sesuai dengan fitrah kejadian manusia, menghibur dan memberikan ketenangan kepada jiwa disamping mematuhi adab-adab Islam. Ini menuntut kesedaran yang tinggi dari pemuzik dan penggiat seni Muslim supaya membentuk industri hiburan tersendiri dan terpisah daripada pengaruh jahat Kuffar. Sebarang percubaan Kuffar untuk menghanyutkan umat Islam ke arah kemaksiatan, kemudharatan dan kefasikan mestilah dihalang beracukan penetapan dan susur galur Al Quran dan Sunnah Rasul SAW.

12 Jamadil Akhir 1429H
16 Jun 2008M


DATO SERI (DR)HJ HARUSSANI BIN HJ ZAKARIA
SPMP.,JSM.,AMN.,PKT.,PJK
MUFTI NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN